Latihan awal pelengkap nilai tambah ibadat wajib
DETIK akhir Syaaban adalah proses pecutan terakhir
menghadapi Ramadan. Dalam mana-mana pertandingan besar, latihan penting kerana
tanpa latihan yang bersungguh, maka dikhuatiri persembahan terbaik menjadi luntur.
Begitu juga Ramadan, menghadapinya bukan isu biasa tetapi sesiapa yang gagal
mengutip peluang keemasan pada Ramadan itu, celaka jawabnya. Walaupun ibadah
wajib itu suatu yang dibudayakan, nilai tambah amalan sunnah dalam Ramadan
peluang setahun sekali.
Sebab itu Nabi SAW mengaminkan doa dipohon Jibril AS ketika Baginda menaiki
mimbar. Ketika itu Jibril berdoa: “Celaka seseorang yang masuk Ramadan, puasa
pada siangnya dan solat pada malamnya kemudian meninggal dan tidak diampuni
dosanya dan ia dimasukkan ke neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Adab
al-Mufrad)
Justeru, langkah drastik perlu dilakukan untuk menghadapi
Ramadan. Contohnya, latihan berpuasa sunat Syaaban ibarat ibadah solat sunat
rawatib yang menjadi ‘pengapit’ solat fardu, sebelum dan sesudahnya.
Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lathaif
Al-Ma’arif: “Seperti solat rawatib adalah solat yang mempunyai keutamaan kerana
ia mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya, demikian puasa Syaaban
kerana puasa Syaaban sangat dekat dengan puasa Ramadan; maka puasa itu
mempunyai keutamaan dan puasa ini boleh menyempurnakan puasa wajib pada
Ramadan.”
Pada masa sama, ada banyak lagi riwayat sahih menunjukkan
Nabi SAW memperbanyakkan puasa pada Syaaban seperti hadis Ummul Mukminin
Aisyah: “Bahawasanya Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyatakan, Baginda
tidak berbuka. Dan Baginda berbuka (tidak berpuasa) hingga kami menyatakan,
Baginda tidak berpuasa.”
Jelas kepada kita Baginda mengkhususkan Syaaban untuk
memperbanyakkan puasa dibandingkan bulan lain. Ini disebabkan bulan berkenaan
sering dilupakan kerana berada antara Rejab dan Ramadan.
Kemuliaan puasa Syaaban dijelaskan dalam hadis Usamah Zaid:
“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, aku tidak melihat engkau
berpuasa pada bulan lain seperti engkau berpuasa pada Syaaban. Rasulullah
menjawab: Bulan itu (Syaaban) adalah bulan yang dilupakan manusia, iaitu bulan
antara Rejab dan Ramadan. Bulan itu bulan diangkatnya amal manusia kepada Tuhan
semesta alam. Aku suka amalku diangkat sementara aku sedang berpuasa.” (Hadis
riwayat Abu Dawud dan an-Nasaie)
Walaupun memperbanyakkan puasa Syaaban itu satu sunnah,
timbul persoalan adakah disunnahkan berpuasa penuh sepanjang Syaaban kerana ada
riwayat antaranya dari Ummu Salamah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW
berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Baginda pernah mencantumkan Syaaban
dan Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)
Diriwayatkan Abu Daud: “Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa
lengkap dalam mana-mana bulan dalam setahun kecuali Syaaban iaitu Baginda
mencantumkannya dengan Ramadan.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Ulama berselisih pandangan dalam memahami hadis itu kerana
ada mengatakan maksud sebenar berpuasa sepanjang Syaaban hanya dilihat dari
aspek bahasa. Imam Ibn Hajar berkata, maksud Baginda berpuasa penuh sepanjang
Syaaban ialah berpuasa hampir keseluruhannya saja.
Kemudian Ibn Hajar mengatakan, maksud keseluruhannya pada
kebiasaan orang Arab bererti ‘hampir keseluruhan atau hampir kesemuanya’.
Kemudian timbul pula isu bolehkah berpuasa selepas
pertengahan Syaaban. Perkara ini menjadi perselisihan ulama berdasarkan hadis
daripada Abu Hurairah yang maksudnya: “Jika sudah tiba pertengahan bulan
Syaaban maka janganlah kalian berpuasa.” (Hadis riwayat al-Khamsah – Ahmad, Abu
Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah)
Pandangan kalangan Mazhab Syafie, menegah dari berpuasa bermula 16 Syaaban. Ada
yang menganggap makruh malah ada menafsirkan larangan yang dimaksudkan di sini
ialah haram sama sekali.
Bagaimanapun, aliran mazhab Syafie tidak mengharamkan secara
menyeluruh. Pengharaman ini dikecualikan kepada mereka yang sudah biasa
berpuasa sebelum pertengahan Syaaban sama ada berpuasa pada hari tertentu
seperti Isnin dan Khamis.
Jumhur ulama pula membolehkan berpuasa selepas separuh
Syaaban kerana mereka mengklasifikasikan hadis itu sebagai hadis daif.
Antaranya Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in yang berhujjah hadis ini
hadis mungkar kerana diriwayatkan oleh al-‘Alla’ bin Abdurrahman.
Turut mendaifkannya ialah al-Baihaqi dan al-Tahawi. Pendapat
ini juga disokong oleh imam Mazhab Hanbali iaitu Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam
kitabnya al-Mughni.
Bagi yang memegang pandangan jumhur ulama, maka ia boleh
berpuasa selepas separuh bulan Syaaban manakala yang melihat kehebatan hujah
itu lebih tepat mengikut pandangan Mazhab Syafie dan ulama terkemudian, maka
lebih baik ia meninggalkan berpuasa selepas separuh Syaaban.
Kecuali bagi mereka yang melazimkan puasa sunat Isnin dan
Khamis, puasa nazar dan puasa ganti. Begitu juga bagi mereka yang sudah mula
berpuasa dari awal Syaaban. Namun penulis lebih kuat berpegang kepada pandangan
kedua dari Mazhab Syafie dengan mengambil kata-kata dari Al-Qari:
“Larangan berpuasa separuh akhir Syaaban bertujuan menjauhi
perkara buruk kerana ia adalah suatu rahmat kepada umat supaya mereka tidak
menjadi lemah dalam menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan nanti. Tetapi
bagi mereka yang berpuasa sepanjang Syaaban, sudah terbiasa dengan puasa dan
ini tidak akan menyukarkan mereka melakukan ibadat itu.”