"Ibu, rasanya semua dah siap
kemas, InsyaAllah, bolehlah kita berangkat sekarang. Ayah pun dah tunggu dalam
kereta tu". Beritahu Rafiq pada orang
tuanya.
Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang
dilekatkan di sudut bacaan, ditinggalkan sahaja, agar dapat memberi manfaat
kepada penghuni yang baru.
Ditatapinya buat kali terakhir.
Bilik A-32; bilik yang menyimpan seribu satu kenangan. Diuji dengan pelbagai
dugaan semata-mata untuk menjadi seorang daie, untuk meneruskan amanah dan
perjuangan Baginda. Namun, dia sedar. Hidayah milik Allah. Dia hanya mampu
melakukan yang terdaya, dalam usaha mentarbiah ahli-ahli biliknya.
Lidahnya basah dengan dakwah. Namun,
mungkin sahaja dia yang bersalah. Mungkin sahaja method dakwahnya tidak
berkesan. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam dirinya. Hanya doa
yang akan mengiringi mereka selepas ini. Semoga mereka sentiasa dilindungi
Allah.
Sudah 3 tahun Raqib menghuni bilik
tersebut. Perasaan sayu bertandang di lubuk hatinya. Sedih. Kini, dia terpaksa
meninggalkan bilik itu, kerana sudah tamat pengajian. Mungkin juga untuk
selama-lamanya.
*
Bertamu Sebuah Memori *
"Ayah, boleh tak, singgah
surau? Raqib nak letak buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim. Dah lama
rasanya buku ini bersama Raqib". Pinta
Raqib pada ayahnya.
Semoga ianya mampu membuka hati
sesiapa sahaja yang membacanya, agar tidak pernah jemu dalam usaha untuk
menyebarkan dakwah dan islah sesama manusia. Tidak kira non-muslim atau muslim.
Semoga bermanfaat. Itulah niat dan keikhlasan hatinya.
Dia teringat pesan Rasulullah S.A.W.
Baginda bersabda, "Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seseorang
lantaran kamu, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari
matahari." (hadis riwayat Tabrani)
Ayah tersenyum. Manis senyumannya.
Dia memperlahankan kereta lalu membelok ke kiri menuju ke surau Al-Falah.
Raqib merenung sudut kiri di hadapan
surau tersebut. Butir-butir kristal mula memenuhi kelopak matanya. Namun,
ditahan juga, bak empangan yang menakung tadahan. Fikirannya mula terbang
melewati episod-episod perjuangan bersama sahabat-sahabatnya. Di situlah tempat
Raqib menjalinkan ukhwah bersama-sama sahabatnya. Banyak masanya dihabiskan di
situ.
Semuanya terjalin kerana Allah.
Daripada usrah, halaqoh, tazkirah, sehinggalah Majlis Ilmu, dan pelbagai lagi
proses tarbiah dilakukan. Berat sekali hatinya untuk meninggalkan surau
tersebut. Semuanya syabab yang dahagakan ilmu, yang sering meniti
dibibir-bibir mereka dengan kalimah memuji kebesaran Rab.
Terlintas kata-kata gurunya sewaktu
pengajian dulu.
"Hanyasanya yang layak
memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan
menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya
sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan
yang mendapat petunjuk."(At-Taubah 9:18)
Sering sahaja mereka mengingatkan
antara satu sama lain, tentang kelebihan solat berjemaah. Tidak dilupakan juga
untuk mengejut sahabat-sahabat ke surau, terutamanya waktu Subuh. Zikir-zikir
mengingati Allah juga tidak ketinggalan untuk mereka lafazkan sesama mereka.
Solat dhuha, Solat tahajud. Semuanya dilakukan semata-mata mencari keredhaan
Allah, serta bimbingan sahabat-sahabat yang sentiasa memperingat antara satu sama
lain. Penghayatan akidah juga ditekankan, agar hubungan mantap dengan Rab.
Namun, segalanya hanya tinggal memori.
"Ya Allah, berilah kekuatan
kepada sahabat-sahabatku, agar mereka sentiasa mampu mengingatiMu. Mungkin
sahaja di sini, terdapat rakan-rakan yang mampu mengingatkan kami, satu sama
lain. Namun, aku sedar, dugaan diluar lebih besar cabarannya. Teguhkan iman
kami, supaya sentiasa berada dalam rahmat-Mu." Bisiknya di dalamm
hati.
Rafiq merenung jauh. Pandangannya
melintasi perjuangan Rasulullah SAW, para sahabat dan syuhada di dalam
mengembangkan syiar Islam. Janggutnya mula dibasahi air mata yang bercucuran.
Raqib begitu risau akan
sahabat-sahabat seperjuangannya. Mampukah mereka istiqamah dalam perjuangan
mereka, ketika mereka berada di dunia yang nyata, yang sudah semestinya penuh
dengan pancaroba?
*
Segalanya Berbeza *
"Semuanya dah berubah, dahulu
makmum aku hanya sahabat-sahabat sebayaku, tetapi, sekarang..." Dia
bermonolog.
Raqib mengerutkan
dahinya. Istighfar membasahi bibirnya. Dia tetap ikhlas menjalankan
tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.
Tidak dinafikan, di mana-mana sahaja
surau, pasti hanya akan dipenuhi oleh orang-orang tua sahaja. Adakah surau
hanya menjadi tempat-tempat bagi hambaNya yang sudah berusia sahaja?
Segala bisikan syaitan tidak
diendahkan. Raqib sentiasa perlu bermujahadah. Mungkin sahaja dia menjadi orang
asing di dalam rumah Allah itu, kerana hanya dia sahaja anak muda didalamnya.
Sama juga keadaannya ketika waktu
Subuh. Mampukah sahabat-sahabatku bermujahadah untuk berjemaah di surau?
Mampukah mereka bangun tatkala manusia lain sedang enak dibuai mimpi,
semata-mata untuk melakukan tahajud seperti dahulu? Mampukah mereka meluangkan
sedikit sahaja masa untuk melakukan solat Dhuha, seperti juga di kolej dahulu?
Raqib sentiasa husnuzzon
dengan sahabat-sahabatnya. Dia tawaduk, menadah tangan mengharapkan rahmat
Allah. Hari-hari yang dilalui penuh dengan muhasabah.
"Ya Allah, sesungguhnya hambaMu
ini merendahkan diri serendah-rendahnya dihadapanMu. Aku memohon keampunan
dariMu. Aku hamba yang banyak melakukan dosa. Jauh sekali untuk menjadi
sempurna, bahkan untuk mengharapkan balasan syurgaMu. Aku seringkali tewas
dengan hawa nafsu, namun aku juga sentiasa bersyukur kepadaMu kerana Kau masih
memberikan aku sinar harapan, peluang untuk sentiasa beribadah kepadaMu.
Semuanya atas keizinanmu, ya Allah. Aku bukanlah seorang yang banyak ilmu,
tetapi setitis kesedaran yang diberikan Kau takkan ku persia-siakan."
"Bimbinglah sahabat-sahabatku.
Semoga mereka sentiasa bermujahadah, meniti hari-hari yang mendatang. Aku tidak
mampu untuk berada bersama-sama mereka selama-lamanya, untuk saling
memperingati antara satu sama lain. Hanya Kaulah tempat aku berharap, agar Kau sentiasa
bersama-sama sahabatku. Berikanlah kekuatan untuk mereka istiqamah, dalam usaha
menjadi hambaMu yang bertaqwa". Panjang
munajatnya memohon kepada Allah.
"Pada hari itu sahabat-sahabat
karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali
orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." (Az-Zukhruf 43:67)
"Semuanya dah berubah, dahulu
makmum aku hanya sahabat-sahabat sebayaku, tetapi, sekarang..." Dia bermonolog.
Rafiq menarik nafas
perlahan.Kedengaran hembusan kecil dari mulutnya. Kemudian istighfar membasahi
bibirnya. Dia tetap ikhlas menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.