Saya bukanlah di kalangan orang yang bagus hafalannya. Namun di dalam hati tidak pernah lekang rasa
ingin menghafal banyak ayat-ayat al-Quran.
Supaya apabila dapat menghafal ayat-ayat al-Quran yang banyak, maka
dapatlah mencontohi Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, para sahabat Baginda,
tabi`in, tabi`ut tabi`in dan orang-orang yang soleh selepas mereka yang berdiri
lama tatkala mereka mendirikan solat malam seorang diri kerana membaca
kalam-kalam mulia dari ALLAH Jalla wa A`la.
Semoga saya dan kalian semua dikurniakan keazaman,
kesungguhan dan dijauhkan dari sifat malas dan putus asa selepas mendengar
perkongsian yang disampaikan oleh Sheikh Wahid Abdus-Salam Bali (semoga beliau
dipelihara ALLAH) berikut:
Daripada penerangan Sheikh, dapat saya fahami bahawa cara
untuk menghafal al-Quran untuk jangka masa panjang adalah seperti berikut:
1) Baca ayat dalam
baris pertama sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf. Kemudian, ulanginya tanpa melihat mushaf.
(Mesti 10 kali.
Jangan baca 2 kali, terus mahu mengulang. Cara ini salah. Ikut pesanan Sheikh dengan membacanya
sebanyak 10 kali, barulah kemudiannya mengulang tanpa melihat mushaf, supaya
ayat yang mahu dihafal melekat di dalam minda dan tahu kedudukan ayat tersebut
di dalam mushaf.)
Jika ada masalah dengan perkataan tertentu, maka bacalah
perkataan tersebut dengan satu perkataan sebelumnya dan satu perkataan
selepasnya sebanyak 5 kali. Kemudian,
ulanginya tanpa melihat mushaf.
2) Kemudian, bacalah
ayat dalam baris kedua sebanyak 10 kali dengan melihat mushaf. Selepas itu, ulangi ayat dalam baris kedua
tanpa melihat mushaf.
3) Setelah ayat dalam
baris pertama dan kedua dapat dihafal, bacalah kedua-dua ayat dalam baris
pertama dan kedua tersebut dengan melihat mushaf pula sebanyak 3 kali. Selepas itu, ulanginya sebanyak 3 kali juga
tanpa melihat mushaf.
4) Ulangi perbuatan
di atas untuk ayat dalam baris ketiga, keempat, kelima dan seterusnya sehingga
habis satu muka surat.
Cara di atas adalah cara penghafalan jangka masa
pendek. Dan hafalan boleh hilang dalam
masa beberapa minggu.
Bagaimana untuk menukar penghafalan jangka pendek ini kepada
penghafalan jangka panjang?
1) Ambil mushaf dan
buka muka surat yang sudah dihafal itu.
Baca muka surat tersebut sebanyak 20 kali dengan melihat mushaf. Sebaik-baiknya semasa membaca, jari
diletakkan di baris berkenaan.
Perbuatan begini, insyaALLAH akan melekatkan apa yang
dihafal kuat di dalam minda. Anda tidak
akan lupa, insyaALLAH. Segala puji bagi
ALLAH. Kenapa?
Kerana apabila anda membacanya sebanyak 20 kali dengan
melihat mushaf, mata anda akan merakam muka surat tersebut dalam bentuk foto ke
dalam minda. InsyaALLAH ia akan melekat
kuat di dalam ingatan anda dan takkan melupakannya.
Berikut adalah satu lagi video penerangan oleh Sheikh
Abdus-Salam Bali:
Tentu ada banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk
menghafal al-Quran. Cara di atas
hanyalah salah satu daripadanya. Semoga
ALLAH Ta`ala memberkati Sheikh atas ilmu yang dikongsikan. Juga buat insan yang sudi berkongsi video ini
kepada umum melalui youtube, semoga ALLAH Ta`ala memberkati mereka juga, amin…
Semoga ALLAH memuliakan saya dan tuan/puan dengan al-Quran
yang mulia, amin.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih. Untuk Lebih Informasi sila lawati Blog saya http://www.aadesigns94.com/